Najib Tun Razak
SHAH ALAM - Rentetan pengumuman harga minyak dilakukan Perdana Menteri pada Isnin lalu, hari ini Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli terus menggesa Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan tiga arahan untuk menjimatkan kos perbelanjaan.
Menurutnya, Najib perlu mengeluarkan arahan yang jelas berhubung penjimatan yang akan dilakukan kerajaan.
"Saya juga masih menanti pengumuman oleh Najib mengenai langkah-langkah penjimatan khusus yang akan diambil oleh BN untuk mengurangkan keborosan kerajaan," katanya yang dipetik dalam satu kenyataan di blognya.
Antara yang dituntut Rafizi adalah perbelanjaan bahan api yang digunakan kereta rasmi Kabinet dan pegawai-pegawai yang perlu dibayar sendiri seperti gesaan PR sebelum ini.
Selain itu, Rafizi juga mencadangkan Najib mengeluarkan arahan untuk memotong peruntukan perjalanan dalam dan luar negara Kabinet dan pegawai-pegawai kerajaan sebanyak 25 peratus yang berkuatkuasa serta merta bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak memberi manfaat kepada kerajaan.
"Saya juga menggesa Najib mengeluarkan arahan untuk hentikan serta-merta amalan mencetak kada jemputan yang mahal dan dihantar secara Poslaju kepada ahli parlimen, penjawat awam dan jemputan bagi setiap program kerajaan.
"Ini kerana boleh dibuat secara percuma melalui email dan laman sosial," katanya.
Dalam pada itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mendakwa ketiga-tiga langkah itu dapat menjimatkan wang rakyat jika dilaksanakan serta-merta.
"Saya menunggu arahan-arahan ini dikeluarkan oleh Najib jika benar beliau mengambil berat kepayahan yang ditanggung oleh rakyat akibat keputusannya menaikkan harga minyak," katanya lagi.
Posting Komentar