Adflin Harun Jual Kek Coklat


KUALA LUMPUR – Kumpulan Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik tidak melihat kerjasama artis dengan mana-mana syarikat bagi mempromosikan sesuatu produk hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja.

Afdlin berkata, jika kerjasama yang dilakukan mengikut prosedur dan berasaskan konsep menang-menang, ia sebenarnya dapat memberi pulangan sama rata kepada kedua-dua belah pihak.

“Jika seseorang artis tahu mengenai pengaruh mereka dalam masyarakat dan menjadikannya sebagai satu perniagaan ia dapat memberikan kelebihan.

“Tidak akan timbul sebelah pihak mempergunakan populariti mereka sekiranya ia dilakukan dengan betul,” katanya pada sidang media pelancaran Boboi Extra Moist Chocolate Cake di Hotel Grand Continental di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, Afdlin berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan syarikat Extra Delicious Sdn Bhd untuk menjual kek coklat tersebut kerana ingin memperkukuhkan jenama kumpulan itu.

Afdlin berkata, kerjasama itu juga dibuat atas dasar untuk melihat usahawan Melayu yang mempunyai produk berkualiti memperluaskan promosi dengan menggunakan populariti artis.
Kedua-dua artis ini popular sebagai kumpulan Boboi dalam Maharaja Lawak Mega.

“Pertama sekali kek yang dihasilkan sangat berkualiti tinggi dan mempunyai potensi tinggi untuk menjadi kesukaan masyarakat tetapi mereka tidak mempunyai kepakaran untuk memperluaskan perniagaan tersebut.

“Di sini saya melihat ia sebagai situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak menerusi kerjasama ini di mana produk itu dapat diperluaskan dan menguatkan lagi jenama Boboi di kalangan peminat,” ujarnya.

Malah dia juga berbesar hati jika terdapat ramai lagi artis melakukan kolaborasi dengan usahawan terutamanya Melayu yang mempunyai produk bagus dan berpotensi untuk dimajukan menggunakan populariti mereka sebagai artis.

Dalam perkembangan sama, Afdlin berkata, mereka memilih produk berasaskan makanan sebagai rangkaian jenama terbaharu Boboi kerana melihat ia berpotensi untuk mendapat tempat di kalangan penggemar kek coklat di negara ini.

Malah mereka juga tidak menolak akan memperluaskan lagi jenama Boboi dengan mengeluarkan lebih banyak produk pada masa hadapan.

“Setakat ini kami telah mengeluarkan beberapa produk seperti komik, baju, topi dan kek dan kami berhasrat mengeluarkan lebih banyak produk pada masa hadapan,” katanya.

Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. congratulation - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger