Ahli Parlimen PR buat laporan polis dakwaan Mat Zain terhadap Peguam Negara

OLEH DIYANA IBRAHIM December 04, 2013
Lima ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) hari ini membuat laporan polis berhubung pendedahan salah laku Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) oleh Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Mat Zain Ibrahim baru-baru ini.

Menurut ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin, mereka membuat laporan tersebut di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira jam 4.38 petang hari ini.
Justeru, beliau berharap dengan laporan polis tersebut maka siasatan terhadap Peguam Negara dapat dilakukan.

 "Melalui surat akuan tersebut pada 2.12.2013 mendedahkan salah laku dua individu iaitu Peguam Negara apabila telah sengaja memalukan dokumen laporan perubatan bagi tujuan menutup insiden mata lebam terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
"Gani juga dilaporkan mengemukakan keterangan penting dalam perbicaraan Pulau Batu Puteh selain didakwa menerima wang rasuah yang dimasukkan di dalam akaun beliau di Hong Kong," katanya.

Menurut Shamsul, tindakan salah laku Abdul Gani perlu disiasat di bawah Seksyen 192 Kanun Keseksaan dan undang-undang lain.
Selain Abdul Gani, laporan polis terhadap Peguam Kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga dilakukan kerana beliau hanya bertindak berdiam diri biarpun tahu akan kesalahan Peguam Negara.

Ahli Parlimen Kota Baru Datuk Takiyuddin Hasan, ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong , ahli Parlimen Kapar Manivannan dan ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim turut bersama dalam laporan polis tersebut.
Mat Zain sebelum ini mendakwa polis boleh menyiasat Abdul Gani berdasarkan kandungan akuan bersumpah (SD) meskipun tiada laporan polis.

Mat Zain merujuk kepada Seksyen 107 dan 107A Kanun Acara Jenayah yang berkait dengan maklumat yang diberikan kepada polis dan kuasa mereka untuk menyiasat.
Mat Zain berkata, beliau menyerahkan salinan SD itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pegawai kanan kerajaan berhubung salah laku Abdul Gani dalam kes Pulau Batu Puteh.

Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda memutuskan kedaulatan pulau yang bersaiz separuh padang bola sepak itu diserahkan kepada Singapura.
Dalam kandungan 31 muka surat SD Mat Zain, beliau mendakwa ratusan juta ringgit bertukar tangan dan dimasukkan ke dalam akaun bank di Hong Kong berhubung kes ini.

Mat Zain turut mendakwa Abdul Gani sengaja menyebabkan Malaysia kalah dalam kes itu sehingga keputusan ICJ berpihak kepada Singapura.
Katanya, akuan bersumpah itu dibuat bagi meyakinkan Putrajaya untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu Pulau Batu Puteh yang dimiliki Singapura. – 4 Disember, 2013.

Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. congratulation - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger