Engku Sakari dipenjara lapan bulan dan denda RM1,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda selepas mengaku bersalah menyimpan atau memiliki sebuah motosikal curi di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
KUALA TERENGGANU - Taktik seorang buruh menggunakan nombor pendaftaran palsu ke atas motosikal curi yang diperoleh daripada rakannya bagi mengaburi mata pihak berkuasa tidak menjadi apabila dia ditahan dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Kampung Tok Fakir, Merchang, Marang, Oktober lalu.
Padahnya, tindakan Engku Sakari Engku Kechik, 29, yang menyimpan atau memiliki harta curi itu menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman lapan bulan penjara dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Tidak cukup dengan itu, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi turut mengarahkan agar Engku Sakari dipenjarakan dua bulan lagi jika gagal menjelaskan denda.
Keputusan itu dibuat selepas Engku Sakari mengaku bersalah memiliki atau menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal milik Razari Dorel, 60, dengan mengetahui atau sebab untuk mempercayai bahawa harta tersebut adalah harta curi.
Dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu pada 30 Oktober lalu, jam lebih kurang 11.30 malam, di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tok Fakir, Merchang, Marang.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Engku Sakari tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, motosikal milik mangsa yang diletakkan di hadapan rumah di Kampung Sungai Rengas, di sini, dalam keadaan berkunci dengan baik disedari telah hilang pada 21 Oktober lalu, jam 7 pagi, sebelum membuat laporan polis.
Susulan laporan diterima, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tok Fakir, Merchang, Marang, pada 30 Oktober lalu, kira-kira jam 11.30 malam, sebelum menemui semula motosikal berkenaan yang ketika itu dalam milikan Engku Sakari.
Posting Komentar