LONDON - Kumpulan kesatuan sekerja Britain semalam bersetuju untuk memboikot sejumlah produk keluaran Israel sebagai tindak balas terhadap tindakan ganas rejim Zionis di Gaza.
Boikot yang diluluskan pada persidangan tahunan Kongres Kesatuan Perdagangan (TUC) menggesa pengharaman semua import produk yang dikeluarkan di penempatan Israel, menamatkan urusniaga senjata dan menamatkan pelaburan dalam sejumlah syarikat.
Para pegawai kesatuan berkata, pemulauan itu menyasarkan produk seperti kurma, herba, buah-buahan dan sayur-sayaruan yang dieksport penempatan Yahudi di Tebing Barat.
"Kami akan menyokong pemulauan terhadap barang-barang berkenaan dan produk pertanian dari wilayah penempatan haram menerusi kempen yang berkesan terutama pada peringkat pengguna," kata TUC dalam satu kenyataan di sini.
TUC ialah badan induk kepada 58 kesatuan buruh Britain yang mewakili 6.5 juta pekerja.
Dalam kenyataan sama, ahli-ahli kesatuan turut mengutuk serangan roket Hamas terhadap penduduk Israel.
Pemulauan itu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di wilayah Gaza pada Disember-Januari lalu yang menyaksikan lebih 1,400 penduduk Palestin maut manakala beribu-ribu lagi cedera.
"Gesaan ini bukan pemulauan barangan dan perkhidmatan dari Israel secara keseluruhan tetapi ia digerakkan oleh pengguna yang menyasarkan perniagaan," kata Setiausaha Agung TUC, Brendan Barber.
Dua tahun lalu, kesatuan sekerja guru kolej terbesar Britain cuba memboikot universiti-universiti Israel namun Kesatuan Universiti dan Kolej mendesak ia ditamatkan kerana ia melanggar undang-undang diskriminasi. - AP
Posting Komentar