Mula-mula dengar cerita dah putus cinta, kemudian katanya dah bertunang kemudian hari ini – mengaku belum bertunang tapi baru merisik!
Itulah episod cerita pasangan pelakon, Uqasha Senrose, 22, dan Pekin Ibrahim, 31.
Semalam, rata-rata media sosial menyiarkan kenyataan Pekin sudah merisik Uqasha seterusnya mengikat tali pertunangan pada 6 Julai lalu sempena hari lahir Uqasha.
Bagaimanapun kepada sebuah akhbar hari ini, Pekin membetulkan kenyataan itu dengan memberitahu dia dan keluarga baru datang merisik dan merancang untuk terus mengahwini Uqasha satu hari nanti tanpa perlu bertunang.
Menurutnya, andaian bertunang itu mungkin dibuat kerana pakaian sedondon yang dikenakannya bersama Uqasha ketika majlis merisik tersebut.
“Gambar saya dan Uqasha berbaju kuning itu diambil ketika saya sekeluarga datang merisik serentak sambutan hari jadinya, baru-baru ini.
“Namun, kami bukannya bertunang dan memang tiada perancangan berbuat demikian kerana saya mahu terus kahwini dia,” katanya.
Tambahnya, “Apa yang penting, kami tidak bertunang sebaliknya merancang terus kahwin. Namun segalanya masih dalam perancangan memandangkan masing-masing sibuk bekerja serta mengumpul duit. Kami mahu pastikan perancangan terbaik untuk hari paling bermakna itu dan yang pasti kami bukan berkahwin tahun ini.”
Tentang andaian bahawa hubungannya dengan Uqasha sudah putus pula, pelakon Bunohan ini berkata ia adalah satu salah faham apabila Uqasha memuat naik sebuah puisi yang membayangkan seolah-olah dia sedang putus cinta sedangkan puisi itu sebenarnya tiada kena mengena dengan kisah mereka.
“Malah saya membacanya (puisi itu) bersama Uqasha dan kami dapati ia sangat manis untuk dikongsi,” kata Pekin.
Oleh: REM RAMZI
Posting Komentar